Gambar kertas undi proses pengundian yang
telah dimainkan untuk timbulkan pelbagai persepsi
Apa Beza Undi Pos & Undi Awal?
Baru2 ni kecoh satu facebook tentang isu polis disuruh mengundi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan oleh SPR. Dan, dari situ timbullah kekeliruan dalam proses pengundian pos dan pengundian awal.
UNDI AWAL
Kategori Pemilih Yang Layak Mengundi Awal
1. Berdasarkan peruntukan peraturan 27A (1)(a)(b)(c)(d), Peraturan- Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012, mereka yang layak mengundi awal dan disenaraikan dalam Daftar Pemilih Pengundian Awal terdiri daripada kategori pemilih seperti yang berikut:
- Anggota tentera
- Isteri atau suami anggota tentera
- Polis
- Isteri atau suami kepada seorang pegawai Polis yang berkhidmat dengan Pasukan Gerakan Am (PGA)
2. Bagi anggota tentera dan PDRM yang bertugas dalam operasi sama ada di dalam atau di luar negara, mereka diberi kebenaran untuk mengundi secara pos. Mereka yang berkenaan perlu membuat permohonan untuk mengundi secara pos dengan menggunakan BORANG 1 - Permohonan Bagi Kertas Undi Pos.
3. BORANG 1 tersebut hendaklah ditandatangani sendiri oleh pemilih berkenaan dan perlu mendapat pengesahan daripada Ketua Jabatan masing-masing dan seterusnya menghantarkannya kepada Pegawai Pengurus bagi Bahagian Pilihan Raya di mana pemilih berkenaan berdaftar sebagai pemilih untuk kelulusan.
4. BORANG 1 yang lengkap diisi dan telah ditandatangani hendaklah sampai kepada Pegawai Pengurus berkenaan secepat mungkin selepas Hari Penamaan Calon. BORANG 1 berkenaan perlu diterima oleh Pegawai Pengurus dalam tempoh yang mencukupi bagi membolehkan Pegawai Pengurus mengeluarkan Kertas Undi Pos kepada pemilih berkenaan.
5. Setiap anggota tentera atau polis yang telah menanda kertas undi pos hendaklah memasukkanya ke dalam Sampul A (SAMPUL SURAT KERTAS UNDI) mengikut jenis sampul sama ada Bahagian Pilihan Raya Parlimen (Parlimen) atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Sampul-sampul A berkenaan berserta Borang 2 hendaklah dimasukkan kedalam Sampul Keutamaan B (mengikut sampul-sampul Parlimen atau DUN) yang dialamatkan kepada Pegawai Pengurus. Sampul ini hendaklah dikembalikan oleh pengundi kepada Pegawai Pengurus sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi Biasa. Jika diterima lewat, sampul tidak akan dibuka.(bermakna Kertas Undi Pos berkenaan tidak akan dikira).
6. Anggota tentera dan PDRM yang memohon kertas undi pos dan diluluskan untuk mengundi secara pos tidak layak untuk mengundi secara biasa pada Hari Mengundi Awal. Selepas Daftar Pemilih Pengundian Awal ditetapkan, mereka yang tidak memohon untuk mengundi secara pos tetapi tidak dapat hadir pada Hari Mengundi Awal, mereka tidak dibenarkan untuk mengundi secara pos.
Pusat Mengundi Atau Tempat Mengundi
1. Pusat-pusat Mengundi Awal akan disediakan di dalam kem tentera bagi anggota tentera dan pasangan atau di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) /Ibu Pejabat Daerah (IPD) bagi anggota PDRM dan pasangan kepada anggota PGA. SPR akan mewartakan Dewan atau Bilik Khas yang akan digunakan sebagai Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran) sama ada di dalam kem atau di IPK/IPD yang ditetapkan.
2. Pusat-pusat Mengundi bagi Pengundian Awal akan disediakan berdasarkan keperluan Bahagian Pilihan Raya Parlimen atau Bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN). Semua Tempat Mengundi (Saluran) ditentukan mengikut keperluan Bahagian Pilihan Raya Negeri dan jumlah pemilih yang berdaftar dalam satu-satu bahagian pilihan raya.
3. Pengundian Awal, Pusat Mengundi Awal yang disediakan akan digunakan untuk beberapa Bahagian Pilihan Raya Parlimen manakala Tempat-tempat Mengundi (Saluran)pula akan diasingkan mengikut Bahagian Pilihan Raya Negeri masing-masing bagi setiap Bahagian Parlimen berkenaan.
4. Senarai Daftar Pemilih Pengundian Awal bagi anggota tentera dan pasangan serta anggota PDRM dan anggota PGA serta pasangan akan digabungkan jika pemilih tidak ramai. Senarai Daftar Pemilih Pengundian Awal tersebut disediakan mengikut abjad bagi anggota tentera dan pasangan, diikuti dengan anggota PDRM dan pasangan anggota PGA. Mereka perlu mengundi di Pusat-pusat Mengundi dan Tempat-tempat Mengundi yang sama walaupun jumlah pemilih tidak ramai. Jika pengundian awal ini melibatkan jumlah pemilih yang ramai, mereka akan mengundi di Pusat-pusat Mengundi dan Tempat-tempat Mengundi(Saluran) yang berasingan.
HARI MENGUNDI AWAL
1. Hari Mengundi Awal akan ditetapkan oleh SPR berdasarkan Peraturan 3(1A) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012 iaitu tidak kurang daripada tujuh hari selepas Hari Penamaan Calon dan tidak kurang daripada tiga hari sebelum dari tarikh atau tarikh-tarikh Hari Mengundi Biasa.
2. Masa mengundi dan Hari Mengundi Awal akan diwartakan oleh SPR. Pengundian akan bermula tepat jam 8.00 pagi hingga 7.00 petang kecuali bagi Pusat-Pusat Mengundi Awal dan Tempat-Tempat Mengundi (Saluran) yang jumlah pemilihnya tidak ramai iaitu 50 orang atau kurang. Bagi kategori ini masa mengundi akan dimulakan dari jam 8.00 pagi sehingga jam 2.00 petang.
Proses Pengundian Awal
Proses pengundian awal adalah sama dengan proses pengundian biasa iaitu melibatkan Kertas Undi, peti undi dan ianya dijalankan di Pusat-pusat Mengundi atau Tempat-tempat Mengundi (Saluran) masing-masing seperti yang telah ditetapkan.
Proses pengundian awal akan dikendalikan oleh Ketua Tempat Mengundi dan beberapa orang Kerani Pengundian di Pusat Mengundi yang telah ditetapkan sama ada di kem-kem tentera bagi anggota tentera dan pasangan atau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen/ Ibu Pejabat Polis Daerah bagi anggota polis dan isteri atau suami kepada pegawai polis yang berkhidmat dengan Pasukan Gerakan Am.
Setiap pengundi perlu menunjukkan Kad Perkhidmatan/Kad Pengenalan kepada petugas di Tempat Mengundi (Saluran) untuk tujuan pengesahan sebelum tindakan seterusnya diambil.
Setiap pengundi adalah diwajibkan dicalitkan Dakwat Kekal pada jari telunjuk kiri mereka sebelum kertas undi9/38 dikeluarkan kepada pengundi berkenaan. Jika pengundi enggan jari telunjuk kiri dicalitkan dengan Dakwat Kekal, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepadanya oleh Ketua Tempat Mengundi.
Peranan dan Tugas Pengundi Yang Mengundi Pada Hari Mengundi Awal
>Setiap pengundi yang akan mengundi pada Hari Mengundi Awal hendaklah membawa salah satu dokumen pengenalan diri yang mengandungi nama, No.Kad Pengenalan dan gambar seperti yang berikut:
a) Kad Perkhidmatan bagi anggota tentera dan PDRM atau Kad Pengenalan atau MyKad; atau
b) Resit Pengenalan Sementara (JPN KP09); atau
c) Resit Kehilangan Kad Pengenalan (JPN KP11) yang disahkan oleh JPN; atau
d) Pasport Antarabangsa; atau
e) Lesen Memandu yang mengandungi Nama, No.Kad Pengenalan dan gambar; atau
f) Kad Kuasa Jabatan yang mengandungi Nama, No.Kad Pengenalan dan gambar.
>Membuat semakan nama, nombor Tempat Mengundi(Saluran) dan Pusat Mengundi di Barung SPR pada Hari Mengundi Awal jika semakan awal tidak dibuat sebelumnya sama ada melalui Pejabat Pengarah Pilihan Raya (PPN) atau Laman Sesawang SPR atau pejabat Pegawai Pengurus atau melalui Sistem Pesanan Ringkas(SMS).
>Mendapat satu kertas undi bagi Parlimen dan satu kertas undi bagi Negeri (jika pilihan raya serentak) daripada petugas-petugas SPR di Pusat Mengundi atau di Tempat Mengundi (Saluran) di mana nama pengundi disenaraikan dalam Senarai Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pengundian Awal.
>Menyerahkan dokumen Kad Pengenalan diri kepada Kerani Pengundian untuk tujuan pengesahan dan membenarkan Kerani Pengundian menyemak tanda atau calitan Dakwat Kekal pada jari telunjuk kiri untuk pengesahan sebelum mengundi dan pengundi bersetuju untuk dicalitkan dengan Dakwat Kekal pada jari telunjuk kiri sebelum kertas undi dikeluarkan.
>Menandakan sama ada “X” atau “√” pada ruang yang disediakan dalam Kertas Undi di dalam Petak Mengundi, seterusnya melipat dua kali Kertas Undi dan memasukkan kertas undi yang telah ditandakan ke dalam Peti Undi yang disediakan mengikut Peti Undi bagi Parlimen dan Peti Undi bagi Negeri.
UNDI POS
Kategori Pemilih Yang Layak Mengundi Pos
Dalam Negara
1. Berdasarkan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan PilihanRaya (Pengundian Pos) 2003, mereka layak mengundi secara pos dengan memohon melalui Borang 1A. Mereka yang layak adalah seperti berikut:
Anggota tentera & pasangan yang tidak dapat hadir semasa Hari Pengundian Awal kerana terpaksa bertugas di luar kawasan menjaga keselamatan negara, mereka boleh memohon untuk mengundi secara pos.
Bagi anggota polis yang tidak dapat hadir semasa Hari Pengundian Awal kerana terpaksa bertugas di luar kawasan menjaga keselamatan negara, mereka boleh memohon untuk mengundi secara pos.
Anggota media yang bertugas membuat liputan perjalanan pilihan raya di luar kawasan juga boleh memohon untuk mengundi secara pos. Mereka perlu mengemukakan permohonan melalui majikan masing-masing.
Petugas-petugas pilihan raya yang dilantik membantu SPR melaksanakan pilihan raya di Pusat-Pusat Mengundi turut diberikan ruang untuk memohon mengundi secara pos, terutamanya bagi mereka yang terpaksa mengundi di luar Pusat Mengundi di mana mereka ditetapkan bertugas.
Luar Negara
Warganegara Malaysia yang telah mendaftar sebagai pemilih tetapi berada di luar negara serta tidak berkesempatan untuk pulang mengundi di Malaysia, dibenarkan untuk memohon mengundi secara pos. Walau bagaimanapun mereka diminta memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan.
Pelajar Malaysia yang telah mendaftar sebagai pemilih tetapi berada di luar negara kerana menuntut sepenuh masa serta pasangannya telah dikategorikan sebagai Pengundi Tidak Hadir. Mereka layak mengundi secara pos.
Kelayakan ini juga diperuntukkan kepada penjawat awam yang bertugas di luar negara serta pasangannya.
Tatacara Pengundian Secara Pos (bagi pemilih yang berada di luar negara)
Karung Khas SPR akan diedarkan kepada semua Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara (Malawakil) bagi menggantikan peti-peti undi pos yang sering digunakan semasa hari mengundi di Malaysia.
Kertas-kertas undi bagi Parlimen dan Negeri akan dimasukkan ke dalam Sampul Keutamaan yang mengandungi nama, Nombor Kad Pengenalan rakyat Malaysia yang memohon untuk mengundi melalui pos serta alamat penuh Malawakil yang dipilih.
Karung Khas SPR dan Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos dijangka tiba di semua Malawakil pada minggu pertama berkempen di Malaysia dan perlu sampai semula ke SPR di Putrajaya selewat-lewatnya dua hari sebelum hari mengundi biasa di Malaysia.
Wisma Putra dan SPR akan menentukan tarikh dan masa penyerahan Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos kepada pemohon di Malawakil dalam tempoh masa antara Hari Pembubaran Parlimen dengan Hari Penamaan Calon. Maklumat tersebut akan diemelkan kepada pemohon dan akan dipaparkan dalam laman web SPR.
Bagi tujuan pengundian melalui pos di luar negara, pemohon akan diberi kemudahan untuk menanda Kertas Undi di Pejabat Malawakil dan SPR akan membantu membawa pulang kertas-kertas undi mereka melalui Beg Diplomatik untuk dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang berkenaan.
Rakyat Malaysia yang telah memohon untuk mengundi melalui pos di luar negara yang tidak berkesempatan untuk mengambil Sampul Keutamaan pada hari penyerahan yang ditetapkan di Malawakil boleh memilih untuk mengambil kertas undinya pada hari yang lain dan menghantarnya kepada SPR menggunakan kos sendiri.
Karung Khas SPR yang mengandungi Sampul B yang mengandungi kertas-kertas undi yang telah ditanda perlu dikunci dan disimpan di tempat yang selamat seperti di bilik kebal dan dihantar pulang ke Malaysia dengan seberapa segera.
Semua Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi yang tidak dituntut sehingga jam 5 petang hari pengundian biasa di Malaysia perlu dihantar semula ke Ibu Pejabat SPR untuk direkodkan.
Penggunaan pen adalah terpakai semasa pengundian pos dan setiap kertas undi perlu ditanda menggunakan pen (tidak ditentukan warna pen).
Senarai Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di Luar Negara yang akan menjadi lokasi penyerahan Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi pos boleh disemak di laman web SPR.
ARKIB SINAR HARIAN 2011
PKR setuju cadangan SPR benar undi awal
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 30, 2011
KOTA BHARU – PKR negeri setuju dengan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan golongan pemilih dalam bidang media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi pos atau undi awal dalam Pilihan Raya Umum -13 nanti.
Pengerusi Majlis Pimpinannya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, pihaknya setuju dengan cadangan SPR itu dan jika bakal dilaksanakan ia akan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mengundi untuk memilih kerajaan yang dikehendaki.
“Saya setuju. Langkah ini membolehkan semua dapat mengundi tetapi dengan syarat semua kertas undi dikira pada hari mengundi.
“Kertas undi perlu dikira pada hari pengundian bagi mengelak ia dimanipulasikan pihak tertentu yang berkepentingan. Apa yang dikehendaki biarlah langkah itu telus dan jujur supaya setiap kertas undi tidak diusik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, SPR bercadang membenarkan pemilih termasuk pemberita, juru terbang, doktor dan mereka yang bekerja dalam industri cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada PRU-13.
Berdasarkan Akta Pilihan Raya, empat kategori yang dibenarkan undi pos termasuk tentera, kakitangan awam yang bekerja di luar negara, pelajar sepenuh masa di luar negara dan juga keluarga mereka.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata, cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas yang sebelum ini turut menilai beberapa cadangan lain termasuk penggunaan dakwat kekal atau biometrik.
Jika cadangan dipersetujui, rang undang-undang pindaan peraturan dan undang-undang berkaitan termasuk membolehkan pengundian awal akan dibentangkan di Parlimen.
No comments:
Post a Comment